Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my
CHEF Ismail (kanan) meraikan kejayaan Abdul Halim selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Kerajaan dan Polisi Awam UNIRAZAK. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
“SAYA kerap bawa dia ketika bekerja di luar negara tapi untuk pendedahan bertemu diplomat, kedutaan dan perwakilan kerajaan supaya dia dapat gambaran sebenar untuk kerjayanya nanti,” kata Cef Datuk Ismail Ahmad.
Menurutnya, dia tidak mendesak anak angkatnya Abdul Halim Abdul Majid, 25, yang dijaga sejak bayi itu untuk memilih bidang yang ingin diceburi, malah memberi sokongan yang sepatutnya.
Abdul Halim yang menerima Ijazah Sarjana Muda Kerajaan dan Polisi Awam, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) semalam merancang untuk berbakti sebagai penjawat awam iaitu Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).
Ismail berkata, dia sememangnya tegas dalam soal pelajaran anaknya itu dan mahukan Abdul Halim melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, selepas beberapa tahun bekerja selepas ini.
Sementara itu, Abdul Halim berkata, buat masa ini, dia membantu Ismail menguruskan restoran di Bukit Aman.
“Permohonan untuk menjadi PTD sudah saya lakukan dan perlu menunggu sehingga tempoh setahun untuk mendapat jawapan dan proses seterusnya,” katanya.
Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perbankan dan Kewangan Islam) dari Fakulti Bank Rakyat Sekolah Perniagaan dan Keusahawanan, Nur Syakirah Mawardi, 22, menerima Anugerah Canselor yang disampaikan sendiri Canselor UNIRAZAK, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
“Saya terkejut dan tidak menyangka menerima anugerah ini. Dengan keputusan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.87, mungkin pembabitan saya dalam aktiviti kurikular membolehkan saya menerima anugerah ini,” kata Nur Syakirah.
Anak sulung daripada tiga beradik berasal dari Pulau Pinang ini, sedang melengkapkan latihan selama setahun di Public Bank Berhad, cawangan Kota Bharu, dan akan terus diserap sebagai kakitangan tetap sebaik taman latihan.
Penerima Anugerah Naib Canselor, Nabil Syafiq Noordin, 24, pula sedang menunggu panggilan kerja dari Petronas.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kerajaan dan Polisi Awam itu tidak menyangka dirinya bertuah untuk menerima anugerah terbabit.
PLATINUM SPONSOR
Copyright ©2024 UNIRAZAK. All rights reserved